Kejatuhan Penggunaan Bahasa Portugis

Menjelang kedatangan British ke Melaka dan lain-lain bahagian di Semenanjung Malaya, jumlah orang yang mendakwa bahawa mereka berketurunan Portugis pun mula berkurangan. Banci pada tahun 1827 (Dickinson 1940, dipetik oleh Baxter 1988: 8) merekodkan bahawa, "penduduk yang terkemudian dianggap sebagai orang Serani atau orang Portugis tempatan," dan "jumlah mereka yang tinggal ini adalah tidak lebih daripada 2,289 jiwa sahaja".

Zaman penjajahan British menjadikan bahasa Inggeris sebagai pilihan dan seperti disebutkan sebelum ini, ramailah orang Portugis ini beralih dari bahasa Portugis Creole ini ke bahasa Inggeris (Pillai dan Khan 2011). Bahasa Portugis Creole ini dianggarkan dituturkan secara fasih hanya oleh sebahagian penduduk di Penempatan Portugis di Ujong Pasir, Melaka. Penempatan tersebut dianggarkan didiami oleh antara 800-1000 orang penduduk yang kebanyakannya adalah penganut Roman Katolik. Ujong Pasir menjadi penempatan bagi penduduk keturunan Portugis sejak 1930an lagi. Ia dibuka oleh dua orang paderi Katolik.

Pengelompokan penduduk keturunan Portugis ini menjadi antara faktor penyebab kepada terselamatnya bahasa Portugis Creole ini. Walau bagaimanapun, penggunaan bahasa ini mula berkurangan dalam kalangan generasi muda. Bahasa Inggeris menggantikan bahasa Portugis Creole ini dan ia dituturkan di rumah. Generasi tua mungkin berbahasa Portugis Creole namun akan dibalas semula oleh generasi muda dalam bahasa Inggeris. Hal ini terjadi kerana mereka tidak mengetahui perkataan atau kekurangan perbendaharaan kata bahasa Portugis. Jadi, mereka menjadi tidak fasih dalam bahasa tersebut. Faktor lain adalah disebabkan perkahwinan campur antara penduduk keturunan Portugis ini dengan etnik lain di Malaysia.   

Kekurangan penutur bahasa ini menjadikan bahasa ini sebagai antara bahasa yang dikategorikan sebagai bahasa terancam oleh UNESCO.