Istilah bahasa warisan ini umunya difahami sebagai bahasa yang dituturkan di rumah yang berbeza dengan bahasa dominan mengikut konteks khusus. Bahasa di rumah ini boleh jadi bahasa komuniti yang telah berpindah dari lokasi asal ke lokasi yang tertentu pada suatu ketika dahulu atau baru-baru ini. Komuniti sebegini selalunya adalah komuniti minoriti di kawasan tempat tinggal mereka kini. Selain itu, bahasa warisan ini boleh jadi juga merupakan bahasa komuniti Creole yang tempatan.
Walau bagaimanapun, darjah kefasihan dalam bahasa di rumah ini boleh jadi berbeza-beza kerana generasi muda menghadiri sekolah-sekolah yang mana medium pengajarannya adalah dalam bahasa yang dominan seperti bahasa Inggeris atau dalam kes di Malaysia, adalah bahasa Melayu. Dalam sesetengah kes, seperti kes dalam masyarakat Serani Portugis di Malaysia dan Singapura, bahasa warisan ini sudah pun berganti dengan bahasa Inggeris. Dalam sesetengah keadaan, bahasa warisan ini boleh jadi bahasa yang dituturkan oleh ibu bapa atau datuk nenek. Sekiranya bahawa yang digunakan di rumah ini tidak diajar di sekolah atau di mana-mana platform, maka ia berisiko untuk hilang. Ancaman kehilangan bahasa ini memerlukan pandangan semula bahawa bahasa warisan ini adalah, "... sebagai medium kepada memori budaya seluruh kominiti yang dipindahkan turun temurun dari suatu tempat ke suatu tempat, dari komuniti kepada komuniti dan dari generasi ke genarasi" (Trifonas dan Aravossitas 2014: xiii).
Bahasa warisan yang dibincangkan dalam bahagian ini adalah bahasa Portugis Creole Melaka atau dikenali sebagai Papia Cristang yang digunakan oleh komuniti Portugis di Ujong Pasir, Melaka. Bahasa rasmi di Malaysia adalah bahasa Melayu manakala bahasa Inggeris adalah bahasa wajib diajarkan di sekolah peringkat rendah dan menengah. Kedua-dua bahasa ini digunakan secara meluas di perniagaan, media dan sistem pendidikan swasta. Bahasa Cina Mandarin dan bahasa Tamil digunakan oleh etnik-etnik Cina dan etnik India Selatan di sekolah-sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di Malaysia. Dalam suasana bahasa yang pelbagai ini, tentu sahaja penutur bahasa-bahasa minoriti seperti bahasa Portugis Creole Melaka ini bergelut untuk mengekalkan kewujudannya.
Cabaran utama mengajarkan bahasa-bahasa minoriti di Malaysia adalah kerana ketiadaan sistem ortografi dan kekurangan bahan-bahan bantu mengajar seperti buku teks rujukan, bilangan pelajar yang sedikit dan ketiadaan guru terlatih untuk mengajar bahasa tersebut.