Pengenalan Kamus Bahasa Portugis Melaka

Asal-usul bahasa Portugis di Melaka bolehlah dijejaki dari usaha penjelajahan dan penjajahan kerajaan Portugal pada abad ke-16 masihi serta tradisi kebudayaan orang Portugis. Kemampuan bangsa Portugis menyerap bangsa lain ke dalam komunitinya membantu menyelamatkan bahasa dan kebudayaan Portugis di serata dunia berabad-abad lamanya (Baxter, 2004).

Berbeza dengan sesetengah dakwaan oleh penulis orang awam, bahasa Portugis Melaka bukannya bahasa Portugis dari abad ke-16 masihi. Sebaliknya, ia adalah sejenis bahasa Creole, iaitu bahasa yang terhasil dari perhubungan antara penutur bahasa Portugis dan bahasa tempatan serta bahasa lain di sekitarnya. Sudah semestinya, kebanyakan dari kosa katanya itu berasal dari loghat-loghat bahasa Portugis bersama dengan sumbangan dari bahasa Melayu dan bahasa lain. Walau bagaimanapun, tatabahasa dan fonologi bahasa ini menunjukkan pengaruh Melayu yang agak besar selain daripada pengaruh Portugis. Masukan dari bahasa Cina Hokkien dan loghat bahasa Portugis Creole dari India (Baxter 1983, 1998, 1990). Pada masa yang sama juga, bahasa Portugis Melaka mengadungi banyak elemen tatabahasa yang asal.

Di Asia, bahasa Portugis Creole dalam sekurang-kurangnya sedozen kepelbagaian yang direkodkan (Holm 1998(II): 285-298), terbit hasil dari penaklukan Portugal ke atas laluan perdagangan maritim serta pengasasan hentian perdagangannya semasa abad ke-16 masihi. Asal-usul komuniti Portugis Creole di Melaka ini sangat berkaitan dengan strategi yang diambil oleh Portugis dalam usahanya mengatasi kekurangan tenaga manusia yang kritikal di jajahannya di Asia. Orang Portugis menggunakan tenaga orang tempatan dalam perdagangan dan operasi ketenteraannya.

Kegiatan mubaligh membantu dalam menerbitkan masyarakat Kristian tempatan yang berorientasikan kebudayaan dan bahasa Portugis. Walau bagaimanapun, faktor penting dari segi keamanan sosial dan kawalan politik diwujudkan melalui pengasasan kelompok casado iaitu lelaki Portugis Eropah yang berkahwin secara rasmi dengan wanita tempatan. Keadaan ini menimbulkan populasi mestiços yang setia dengan mahkota Portugal. Orang Portugis Eropah sering diatasi jumlahnya oleh elemen-elemen tempatan. Bahasa Portugis Creole pun muncul dalam persekitaran yang sebegini. Selepas ketibaan Portugis, bahasa tempatan dan bahasa lingua franca tempatan iaitu bahasa Melayu masih lagi terus dituturkan walaupun ketika itu Melaka berada di bawah pengaruh budaya Portugis.

Dalam populasi yang kemudian apabila setiap persinggahan perdagangan Portugis itu sudah maju, bahasa Portugis sebagai bahasa kedua mula dicairkan oleh populasi bukan Eropah yang masuk ke jajahan. Selain itu, bahasa Portugis mula dilemahkan disebabkan oleh ketiadaan model bahasa Portugis Eropah asli yang masuk ke jajahan untuk pemerolehan baru. Bahasa Portugis Pidgin dan bahasa Portugis Creole dari jajahan lain nampaknya wujud pada tahap tertentu dalam kalangan kru kapal, tentera dan hamba.

Sepertinya juga, kesinambungan kepelbagaian bahasa Portugis yang menjadi bahasa kedua itu, dari bahasa yang asas sahaja sehingga kepada bahasa tahap maju menunjukkan pelbagai pengaruh dari bahasa tempatan. Kepelbagaian bahasa Portugis yang menjadi bahasa kedua ini akan menyumbang masukan pula kepada pembelajaran bahasa Portugis sebagai bahasa pertama. Dalam beberapa konteks, bahasa 'Portugis' tempatan yang dituturkan mungkin lebih kurangnya menyerupai model Eropah. Walau bagaimanapun, dalam konteks yang lain di mana input pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak itu adalah sebagai bahasa kedua dan kurang dipengaruhi oleh model Eropah, maka proses creolisasi pun berlaku. Beginilah caranya satu bahasa baru dicetuskan berdasarkan kepada bahasa Portugis namun dengan pengaruh bahasa basahan tempatan dan dari kepelbagaian bahasa Portugis Creole di India.

Bahasa Portugis yang dituturkan oleh komuniti Kristian Katolik Romawi di Melaka itu telah melalui proses dan wujud bersama dalam hubungan dwibahasa dengan orang Melayu yang menganuti agama Islam. Portugis menguasai Melaka kira-kira selama 130 tahun iaitu dari tahun 1511 sehingga tahun 1641 sebelum ia diambil alih oleh Belanda. Pada penghujung zaman Portugis di Melaka, terdapat kira-kira 250 casados Portugis dan kira-kira 2000 orang hamba yang dimiliki oleh keluarga Portugis tersebut berserta 8,000 orang yang baru dibaptiskan dalam Gereja Katolik Romawi di bawah pentadbiran Portugis. Kemungkinan, separuh daripada populasi ini mungkin bertutur dalam kepelbagaian bahasa Portugis yang wujud. Lebih kurang 36 tahun di bawah pentadbiran Belanda, elemen populasi 'Portugis' itu masih lagi menjadi kelompok etnik yang terkuat dalam bandar Melaka.

Banci pada tahun 1678 menyenaraikan seramai 1469 orang yang dikenalpasti sebagai berbangsa 'Portugis' dan mengamalkan kebudayaannya. Mereka memiliki 551 orang hamba (Bort, 1927[16781]: 39-44). Jadi, munasabah untuk kita menyimpulkan atau menganggap bahasa orang-orang ini sebenarnya bertutur dalam bahasa 'Portugis'. Dari populasi inilah komuniti Kristian yang disebut sebagai cristão itu diturunkan bersama dengan pelbagai masukan melalui proses penyerapan dari kebudayaan bangsa sekeliling mereka iaitu Melayu, India, Singhala, Cina Hokkien, Belanda dan British.

Bahasa Portugis Creole Melaka ini mempunyai dokumentasi linguistik yang boleh dipertimbangkan banyak juga. Pelbagai aspek seperti tatabahasa dijelaskan oleh Rego (1942), Hancock (1969, 1973, 1975), Baxter (1983, 1988, 1990 dan 1996) dan Thurgood (1996). Baxter (1988) membincangkan mengenai tatabahasa deskriptif diikuti dengan prinsip linguistik dan didasarkan kepada bahasa yang direkodkan seawal tahun 1980an. Leksikon pula didokumentasikan oleh Rego (1942), Hancock (1973), Marbeck (1995) dan baru-baru ini dalam bentuk kamus untuk kepelbagaian bahasa Portugis Creole di Singapura (Scully & Zuzarte 2004). Bahan pedagogi pula direkodkan oleh Marbeck (2004).

Sebagai tambahan kepada penerbitan di atas, beberapa manuskrip perbendaharaan kata telah dikumpulkan bertahun-tahun oleh warga emas di padre sa chão seperti Joe Bosco Lazaroo, Patrick de Silva dan Aloysius Sta Maria. Rego (1998 [1942]) mempersembahkan dokumentasi yang besar daripada ayat-ayat tradisional dan Marbeck (1995) merangkumi teks selari antara bahasa Portugis Creole dengan bahasa Inggeris meliputi perbincangan kebudayaan serta sejarah. Dengan pengecualian kepada Rego (1942), kesemua penerbitan yang di atas ditulis dalam ortografi Melayu berbanding dengan ortografi Portugis. Manakala secara peribadinya, aku mahu mempelajari bahasa Portugis yang sebenar sebagai bahasa pertama atau kedua jadi aku tidak mahu bertutur dalam bahasa Portugis Creole.