Negara kota Melaka telah diduduki oleh Portugis pada tahun 1511 tetapi antara tahun 1641 hingga tahun 1795 dan di antara tahun 1818 hingga 1824, Melaka berada di bawah pemerintahan Belanda (Holm 1989: 291-292, Hancock 2009: 296).
Bahasa Portugis Pasar Melaka (selepas ini dirujuk sebagai Malaccan Portuguese Creole atau MPC) dituturkan oleh anggota komuniti Eurasia atau kacukan Asia dan Eropah di Malaysia khususnya di Melaka, mungkin di Kuala Lumpur serta di Singapura (Holm 1989: 291, Pereira 2006: 59, Hancock 2009: 295). MPC dikenali dengan pelbagai nama antaranya termasuklah mengikut susunan abjad seperti bahasa Gerago atau bahasa Geragau, bahasa Serani, dialecto português de Malaca, bahasa Luso Malayo, bahasa Portugis Pasar, bahasa Portugis Pasar Melaka, bahasa Melaka, Malaqueiro, Malaquenho, Malaquense, Malaquês, bahasa Portugis Malayo, bahasa Portugis Pasar Malaysia, Papia Cristão, Portuguese Patois, Português de Malaca, Serani (Hancock 1969: 38, Baxter 1988: 1, Morgado da Costa 2020: 37). Seperti yang ditunjukkan oleh Baxter (1988: 1), "penutur bahasa ini sendiri kebanyakannya menggunakan istilah Kristang dalam bahasa mereka".
Anggaran bilangan penutur MPC berbeza-beza: Menurut Holm (1989: 292), "komuniti penutur bahasa pasar ini berjumlah kira-kira seramai 1,500 orang di Melaka". Hancock (2009: 295) pula menganggarkan jumlah penutur adalah "beberapa ratus orang termasuk kanak-kanak". Dalam kemas kini terakhir bagi masukan Kristang dalam edisi dalam talian Moseley (2010) pada 8 Februari 2017, jumlah penutur dicatatkan seramai 2,150 orang.
Seperti semua bahasa pasar berleksikonkan Portugis di Asia yang masih dituturkan, prospek untuk mengekalkan MPC agak suran kerana generasi muda beralih kepada bahasa Melayu dan, atau pun kepada bahasa Inggeris (lihat contohnya Pinharanda Nunes 1999, Baxter 2005, Lee 2004, Lee 2011, Baxter 2012). Dalam Moseley (2010), tahap ancaman terhadap MPC dikategorikan sebagai "sangat terancam", yang bermaksud dari segi transmisi antara generasi, "bahasa ini dituturkan oleh datuk nenek dan generasi yang lebih tua; sementara generasi ibu bapa mungkin memahaminya, mereka tidak menuturkannya kepada anak-anak atau seasama mereka". Pada masa ini, usaha untuk menghidupkan semula MPC sedang dijalankan di Malaysia (Soh 2015, Pillai et al. 2018) dan di Singapura (Wong 2019, Kodrah Kristang n.d.).
Seperti yang dinyatakan oleh Baxter & de Silva (2004: xvii), "Kristang, seperti mana-mana bahasa yang muncul dalam konteks di mana beberapa bahasa berinteraksi dan yang terus dituturkan dalam konteks ini, secara semula jadi menggunakan perkataan yang berasal daripada bahasa lain". Selain bahasa Portugis sebagai bahasa leksikon utamanya, MPC turut menyerap perkataan daripada bahasa lain bagi membina kosa katanya. Hal ini termasuklah bahasa Melayu, bahasa Cina Hokkien, bahasa Belanda dan bahasa Inggeris.
Sumbangan perkamusan bahasa Belanda kepada MPC setakat ini agak kurang dikaji oleh orang ramai. Hanya terdapat dua karya yang khusus membincangkan topik ini iaity oleh Hancock (1970) dan Avram (2013). Dalam kertas ini, Avram meneliti semula perkataan MPC yang berasal daripada bahasa Belanda.