Bahasa Latin Pasar di Semenanjung Iberia mula berpisah dari bahasa Romawi lain selepas kejatuhan empayar Romawi antara tahun 409 M dan tahun 711 M. Semenanjung Iberia kemudian ditakluki pula oleh orang gasar pada abad ke-5 masihi. Pendatang baru itu iaitu puak Suevi dan Visigoth segera menyerap kebudayaan Romawi serta bahasa Latin pasar di semenanjung itu.
Selepas bangsa Moor masuk ke situ pada tahun 711 masihi, bahasa Arab menjadi bahasa pentadbiran dan mendominasi rantau itu. Namun, orang ramai masih terus bertutur dalam satu bentuk bahasa Romawi yang selalunya dikenali sebagai bahasa Mozarab. Pengaruh bahasa Arab kecil sekali terhadap bahasa tempatan sehinggalah bangsa Moor dikalahkan. Mereka hanya meninggalkan kesan besar terhadap leksikon sahaja.
Pada tahun 1143 masihi, Raja Alfonso Henriques menjadikan Portugal sebagai sebuah negara berautonomi. Pada awalnya, bahasa tempatan di Portugal digelar sebagai bahasa Portugis Tua. Selepas itu, bermula pula zaman Portugis-Galicia dari abad ke-12 masihi sehingga ke-14 masihi. Bahasa ini mula digunakan secara progresif dalam kalangan orang awam selepas itu sehingga ia menjadi terkenal sebagai bahasa persuratan di Semenanjung Iberia yang menganuti agama Kristian itu. Pada tahun 1290, Estudo General atau Universiti Portugis diasaskan di Lisbon oleh Diniz, Raja Portugal. Baginda mengisytiharkan piagam bahawa bahasa Portugis yang ketika itu dikenali sebagai bahasa Pasar atau bahasa Latin Pasar digelar sebagai bahasa Portugis dan harus digunakan untuk urusan rasmi. Bahasa Portugis mula digunakan dalam dokumen bertulis sekitar abad ke-9 masihi. Menjelang abad ke-15 masihi, ia pun menjadi bahasa yang matang kaya dengan kesusasteraan.
Antara abad ke-14 dan abad ke-15 masihi, zaman kedua "Bahasa Portugis Tua" pun berlangsung dengan penemuan dunia baru oleh orang Portugis. Loghat bahasa Portugis turut dibawa ke pelbagai rantau di Asia, Afrika dan Amerika. Umumnya, majoriti penutur bahasa Portugis pada hari ini tinggal di Brazil, Amerika Selatan. Menjelang abad ke-16 masihi, bahasa Portugis menjadi lingua franca di Asia dan Afrika. Penggunaannya bukan sahaja sebagai bahasa pentadbiran penjajah Portugis dan perdagangan namun sebagai bahasa komunikasi antara pegawai tempatan dan orang Eropah pelbagai kewarganegaraan pada ketika itu. Penyebaran bahasa Portugis turut berlaku dengan perkahwinan campur antara orang Portugis dengan penduduk tempatan dan hubungannya dengan mubaligh Katolik Romawi. Hal ini membawa kepada tercetusnya bahasa creole yang digelar sebagai bahasa cristão atau bahasa orang kristian di beberapa bahagian di Asia. Bahasa ini terus kekal dituturkan oleh beberapa komuniti sehingga abad ke-19 masihi.
Setengah komuniti yang beragama Kristian mazhab Katolik Romawi menuturkan bahasa Portugis di India, Sri Lanka, Malaysia dan Indonesia masih lagi mengekalkan bahasa mereka yang berasaskan bahasa Portugis walaupun mereka sudah terpisah dari Portugal. Bahasa dalam komuniti ini berubah dan berkembang menjadi bahasa creole Portugis. Sesetengahnya telah pupus manakala sesetengahnya lagi masih wujud sehingga kini. Selain itu perkataan bahasa Portugis turut diserap ke dalam bahasa lain seperti bahasa Tetum, bahasa Jepun, bahasa Melayu dan bahasa Swahili.
Pada tahun 1516, bahasa Portugis Lama ditandakan dengan penerbitan Cancioneiro Geral de Garcia de Resende. Zaman bahasa Portugis Moden bermula dari abad ke-16 masihi sehingga kini menyaksikan sejumlah besar perkataan dari bahasa Latin Klasik dan bahasa Yunani akademik diserap ke dalamnya semasa zaman Renaissance. Hal ini menimbulkan lebih banyak kerumitan dalam bahasa Portugis.