Sistem Ejaan Bahasa Portugis Creole

Sistem ejaan yang digunakan dalam penulisan bahasa Portugis Creole di Melaka adalah sistem yang sama digunakan untuk menulis bahasa Melayu. Pengecualian untuk vokal ĕ pepet ditulis sebagai vokal ă dalam bahasa Portugis Creole. Hal ini memudahkan penutur bahasa Portugis Creole merekodkan bahasa mereka kerana sistem ini adalah sistem yang sama dengan ejaan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan di Malaya.

Bahasa Portugis Creole mempunyai lapan vokal dengan enam daripadanya adalah kontrastif. Bunyi vokal tersebut adalah i, e, ɛ, a, o, ɔ, u dan ə. Untuk sesetengah penutur, wujud kepelbagaian bebas antara sebutan vokal e dan i serta o dan u. Secara fonetik, vokal ə dibunyikan sebagai vokal separa tertutup belakang dengan bibir melebar terutamanya di kedudukan terakhir perkataan. Jika tidak, ia dibunyikan dengan kedudukan pertengahan sahaja.

Konsonan dalam bahasa Portugis Creole pula terdiri daripada p, b, t, d, ch, j, k, f, s, z, m, n, ng, ny, l, r, w dan y. Letusan tidak dibunyikan dalam semua kedudukan. Konsonan l, r, t, d dan n selalunya dibunyikan secara retrofleks atau bergulung oleh penutur dalam kalangan golongan tua. Konsonan ng dalam bahasa Portugis Creole ini boleh diperhatikan seperti contoh perkataan berikut:
  • lúngă bulan
  • sángi darah
  • ngkă tidak
  • nggrátu tidak bersyukur
Tekanan ditandakan dengan tekanan akut. Ia digunakan dalam contoh seperti berikut namun ia sebenarnya tidak diperlukan dalam kebanyakan masa:
  • káză rumah
  • kazá kahwin
  • lábă basuh
  • labá lebah