Sejarah Ringkas

Abstrak: Bahasa Portugis Kristang ini dituturkan oleh beberapa ratus orang termasuklah kanak-kanak di barat daya Malaysia. Bahasa ini difikirkan telah pun pupus sehinggalah beberapa penutur bahasa ini ditemui di Melaka. Berdasarkan kepada kerja lapangan yang dibuat di Malaysia dengan koresponden Nicholas Nunis yang merupakan penutur asli bahasa ini maka Ian Hancock mengumpulkan hasil kerjanya dalam kertas kerja beliau ini.

Walaupun Portugis telah keluar dari Malaya lebih dari 350 tahun yang lalu, namun di sebuah pekan yang dikenali sebagai Malacca masih wujud lagi sekelompok komuniti Eurasia yang menggelarkan diri mereka sebagai orang Portugis dan bertutur dalam bahasa Portugis yang Creole. Mereka ini adalah keturunan pendatang Portugis yang berkahwin dengan orang Melayu tempatan, orang India dan orang Cina. Masyarakat Portugis Creole ini kemudian berkahwin sesama sendiri kerana bahasa yang sama, agama yang sama iaitu Katolik Roma dan pekerjaan mereka sebagai nelayan.

Populasi bangsa Eurasia di Malaysia dianggarkan seramai 11,000 orang. Bukan semua dalam kalangan bangsa Eurasia ini berketurunan Portugis yang jumlah mereka sendiri pun tidak dapat dipastikan. Walau bagaimanapun, jumlah mereka semasa dokumen ini ditulis oleh Hancock mungkin antara seramai 2,500 ke 3,000 orang.

Pada 1 Ogos 1509, armada lima kapal Portugis telah mendarat di Melaka di bawah arahan Laksamana Diogo Lopes de Sequiera. Hal ini kemudian memulakan hubungan awal antara orang Eropah dengan penduduk tempatan di Semenanjung Tanah Melayu. Pada awalnya, mereka disambut dengan baik oleh penduduk tempatan namun kemudiannya mereka dibenci dan tidak dipercayai oleh penduduk tempatan kerana Portugis melayan mereka di rantau koloni dengan kejam. Pada tahun 1511, Alfonso de Albuquerque yang merupakan seorang bangsawan Portugis bersama dengan 19 buah lagi kapal Portugis mendarat di Melaka. Anak kapal terdiri daripada seramai 800 orang tentera Portugis dan 600 orang tentera India. Mereka berada di Melaka selama tiga bulan membangunkan kubu yang bertahan selama lebih daripada 120 tahun dan menerima sebanyak 20 serangan. Pada ketika itu, populasi di Melaka adalah seramai 20,000 orang dan sepertiga daripada penduduknya adalah dari bangsa Portugis. Kota Melaka menerima kapal dari segala bangsa kecuali kapal dari bangsa Arab. Dari tapak kubu mereka di Melaka itulah kemudian mereka meneruskan pengembaraan menjelajah Timur Jauh.

Pada tahun 1580, Portugal telah jatuh ke dalam empayar Sepanyol yang diperintah oleh raja Felipe II. Walaupun kekuatan tentera laut Sepanyol bertambah dengan kemasukan Portugal ke dalam empayarnya, namun mereka tidak dapat menghalang Belanda untuk turut sama mencari faedah di rantau Timur. Portugis dikalahkan dalam dua di Selat Melaka masing-masing pada 1606 dan 1608. Pada ketika itu, mereka hanya mampu mempertahankan kota Melaka sahaja. Pada 1635, Belanda mula meronda di sekitar Selat Melaka untuk menghalakan kapal-kapal ke pelabuhan yang dikuasai mereka. Beberapa tahun kemudian, kota Melaka menjadi lemah dan mudah diserang. Pada Julai 1640, tentera Belanda mendarat di Melaka dan menahan bekalan makanan dari masuk ke kota Melaka. Hal ini menyebabkan penduduk di Melaka kebuluran. Portugis akhirnya menyerah kalah kepada Belanda pada 1 Disember 1640. Mereka dibenarkan oleh Belanda untuk meninggalkan kota Melaka ke koloni Portugis lain di Goa dan Diu. Hanya beberapa orang Portugis dan orang Portugis keturunan Eurasia sahaja yang tinggal di Melaka. Belanda mentadbir kota Melaka sehingga 1795 iaitu selama 155 tahun. Kota Melaka tidak makmur di bawah pentadbiran Belanda. Menjelang penghujung pemerintahan mereka, penduduk di kota Melaka hanya tinggal seramai 15,000 orang sahaja.

British mengambil alih kota Melaka pada 1795. Pada tahun 1818, Belanda kembali ke kota Melaka dan cuba mengasaskan semula rantaian perdagangan mereka di sana. Pada tahun 1824, satu perjanjian dibuat antara British dan Belanda. Malaya dan Singapura menjadi sebahagian daripada empayar British. Kepulauan Riau atau Pulau Bintang menjadi sebahagian daripada rantau yang ditadbir oleh Belanda. Seluruh Malaya berada dalam empayar British sehinggalah kemerdekaannya pada 1957 dan ia dinamakan semula sebagai Malaysia.

Sumber Rujukan
  • Happy Buffalo, Sejarah Kewujudan Orang Portugis di Timur, 8 Disember 2014 (blogspot)